KAKITANGAN HOSPITAL MAUT REMPUH LORI

PUTRAJAYA: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang lori pembersihan di Jambatan Seri Saujana, di sini petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang itu melibatkan mangsa Muhammad Aimanhafiz Ab Wahab, 30, yang merupakan kakitangan di Unit Fisioterapi Hospital Putrajaya maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yahama Lagenda itu sedang dalam perjalanan menuju ke arah Lebuh Sentosa.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan telah merempuh sebuah lori yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di jambatan berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke bahagian kanan jalan dan disahkan meninggal dunia manakala pemandu lori tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya hari ini.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.—AlHijrah Online

Leave a Reply