KANAK-KANAK LELAKI MAUT DIREMPUH MPV

KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas basikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika cuba melintas jalan di Lorong 14 Kampung Padang Jaya 2, petang semalam.
Kejadian berlaku pada jam 6.45 petang melibatkan mangsa, Muhammad Azzim Imni Mohd Faizal yang berusia 8 tahun.
Mangsa meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kemalangan berlaku ketika MPV dipandu wanita itu menuju ke Jalan Kampung Padang Jaya 8 untuk ke Sungai Lembing.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menaiki basikal dipercayai secara tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan untuk pulang ke rumahnya di Lorong Kampung Padang Jaya 15.
“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu MPV tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa,” kata Wan Mohd Zahari.
Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.
Manakala pemandu MPV yang juga seorang wanita berusia 33 tahun tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.–AlHijrah Online