KANAK-KANAK LIMA TAHUN MATI LEMAS

SUNGKAI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut meninggal dunia akibat lemas semasa bermain di Sungai Jerong, Kampung Bikam, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Zaini Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.59 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Menurut maklumat yang diterima, ibu bapa mangsa menjumpai sepasang kasut milik mangsa berhampiran tali air sungai tersebut.

“Anggota menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sebelum menjumpainya dari jarak 10 meter dari lokasi dia terjatuh,” katanya.

Menurut Zaini, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, keluarga mangsa datang ke kampung tersebut untuk melawat saudara mereka.

“Mangsa Muhamad Amsyar Mohd. Zamri ke tali air tersebut untuk bermain air pada pukul 10.45 pagi bersama dua adik-beradik dan seorang sepupunya.

“Mangsa terjatuh ke dalam sungai sebelum tiga yang lain berlari memberitahu ibu bapa mereka yang berada di rumah kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian,” katanya.

Operasi SAR mangsa disertai lapan anggota bomba manakala masing-masing enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam keadaan hujan lebat dan arus deras sebelum mangsa dijumpai sejam kemudian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

–AlHijrah Online

Leave a Reply