ARAB SAUDI BENAR SEMULA KEMASUKAN PENERBANGAN ANTARABANGSA

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi mengumumkan pembukaan semula bagi kemasukan penerbangan antarabangsa serta pembukaan kesemua pintu sempadannya selepas ditangguh dua minggu.
Menurut laporan agensi Saudi Gazette, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi memaklumkan langkah tersebut berkuat kuasa pada Ahad.
Bagaimanapun, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan beberapa syarat bagi pembukaan semula semua pintu sempadan darat dan laut serta penerbangan antarabangsa itu.
“Semua warga asing yang tiba dari Britain dan Afrika Selatan serta negara lain yang dilaporkan berlaku penularan varian baharu virus COVID-19 perlu menetap selama 14 hari di negara lain sebelum masuk ke Arab Saudi.
“Rakyat tempatan yang pulang dari negara dilaporkan berlaku kes varian baharu itu dan dibenarkan masuk bagi tujuan kemanusiaan dan kes kecemasan perlu menjalani kuarantin di bawah pengawasan selama 14 hari di rumah masing-masing,” menurut kenyataan dari sumber itu.
Mereka juga turut diwajibkan untuk menjalani ujian calitan dalam tempoh tidak lebih 48 jam selepas tiba dari luar negara dan pada hari ke-13 kuarantin.
Sementara itu, penduduk yang baru pulang daripada melancong ke negara terjejas pula dikehendaki menjalani kuarantin di bawah pengawasan selama 7 hari di rumah dan membuat ujian calitan pada hari keenam.
“Pengembara yang pulang dari negara yang dilaporkan tidak berlaku kes jangkitan varian baharu itu perlu membuat pengasingan secara kendiri di rumah selama 7 hari.
“Mereka juga boleh menjalani kuarantin selama tiga hari sahaja, tapi perlu menjalani ujian calitan,” katanya.
Terdahulu, kerajaan Arab Saudi melaksanakan penutupan kesemua pintu sempadannya dan menggantung penerbangan antarabangsa pada 20 Disember lalu selepas penularan varian baharu virus COVID-19 dilaporkan berlaku di beberapa negara Eropah.–AlHijrah Online