KANAK-KANAK MAUT DIPERCAYAI AKIBAT DICEKIK KERANA RM4

KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut, dipercayai selepas disepak, dicekik dan dihempas oleh remaja berusia 16 tahun, dalam kejadian yang didakwa berpunca akibat wang RM4, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah kebajikan untuk anak yatim dan asnaf di sini, semasa suspek dan mangsa bersama enam lagi penghuni di situ membersihkan surau.

“Mangsa didakwa diusung oleh tiga penghuni ke rumah penyelia asrama, yang terletak kira-kira 50 meter dari surau itu pada pukul 4.15 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri, dengan penyelia terlibat pada awalnya menjangka mangsa terkena sawan atau kancing gigi.

“Penyelia terlibat terus membawa mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) namun doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di wad kecemasan,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini. 

Siasatan awal melibatkan saksi kejadian mendakwa suspek telah menegur mangsa yang disyaki mengambil wang RM4 miliknya, namun teguran itu tidak diendahkan menyebabkan suspek, yang merupakan pelajar sekolah menengah di sini, tidak berpuas hati.

Ia didakwa menjadi punca suspek mencekik dan menghempas mangsa ke lantai sehingga mangsa tidak sedarkan diri.

Wan Mohd Zahari berkata suspek kini direman sehingga 27 Mac, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.–AlHijrah Online

Leave a Reply