KANAK-KANAK MAUT, EMPAT CEDERA DALAM NAHAS KENDERAAN

ISKANDAR PUTERI: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun maut dalam nahas dua kenderaan di kawasan berhampiran Mydin Nusajaya, Jalan Ismail Sultan, East Ledang di sini malam tadi.

Kejadian itu juga turut melibatkan empat individu lain cedera.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nazran Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.44 malam tadi sebelum menghantar tujuh anggota beserta sebuah jentera ke lokasi kejadian.

“Kemalangan itu melibatkan sebuah Toyota Vios dan sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Avanza.

“Terdapat empat orang mangsa berada dalam kereta Vios dan salah seorang daripada mereka tersepit di bahagian tempat duduk belakang kereta sementara pemandu Toyota Avanza mengalami kecederaan parah di bahagian kaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bomba telah mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan rescue tools dan mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian.

“Anggota bomba telah memberi rawatan awal kepada mangsa yang mengalami kecederaan dan mereka telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau anggota bomba juga telah membersihkan tumpahan minyak akibat daripada kemalangan tersebut dengan menggunakan habuk kayu.

Operasi ditamatkan pada jam 10.38 malam.–AlHijrah Online

Leave a Reply