KARIKATUR NABI MUHAMMAD SALAH SATU BENTUK KEGANASAN – SHEIKH SUDAIS

MAKKAH: Khutbah Jumaat di Masjidil Haram, Makkah hari ini mengutuk keras tindakan majalah Satira, Charlie Hebdo yang menerbitkan keluaran yang memaparkan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad Salallahu’alaihi Wassalam (SAW).
Khutbah disampaikan Imam Besar masjid suci itu, Sheikh Dr Abdul Rahman As-Sudais tengah hari Jumaat (waktu Arab Saudi).
As-Sudais menyifatkan karikatur berkenaan sebagai melampau, keterlaluan dan menganggapnya sebagai salah satu bentuk keganasan juga.
“Ia salah satu bentuk keganasan yang penuh dengan kebencian. Ia berunsur perkauman yang menjijikkan, bukannya kebebasan bersuara.”
Sheikh Dr. Abdul Rahman As-Sudais, Imam Besar Masjidil Haram
Menurut As-Sudais, tindakan menghina atau mengejek kesucian dan simbol sesebuah agama bukanlah sesuatu yang dianggap hak kebebasan bersuara, sebagai mana dilaungkan sebahagian penduduk Perancis.
Sebaliknya kebebasan bersuara harus juga mengambil kira nilai-nilai kemanusiaan, dan disulami dengan rasa hormat-menghormati terhadap perasaan orang lain.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron baru-baru ini dilapor membela hak sebuah penerbitan yang memaparkan karikatur Nabi Muhammad SAW, yang mana tindakan pemimpin itu mengundang kecaman dunia Islam.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan Macron sebagai individu yang perlu menjalani rawatan mental.
Kenyataan Macron minggu lalu dibuat sebagai reaksi balas terhadap pembunuhan seorang guru, Samuel Paty, di luar sekolahnya yang terletak di pinggir bandar Paris awal bulan ini.

Guru terbabit sebelum itu menunjukkan karikatur Nabi Muhammad dalam kelas semasa mengajar topik mengenai kebebasan bersuara.
Paty, menjadi sasaran kempen kebencian dalam talian berhubung pemilihan kandungan pembelajaran iaitu gambar sama yang mencetuskan serangan berdarah oleh lelaki bersenjata di pejabat majalah satira Charlie Hebdo pada 2015.
Malaysia, dalam pada itu turut mengulangi pendirian, mengutuk keras tindakan retorik dan provokatif yang sengaja mencemarkan nama baik Islam. – AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi