POLIS BONGKAR KEGIATAN JUAL KETUM CAMPUR UBAT BATUK

Sumber: Utusan Malaysia

KEDAH: Seorang lelaki ditahan pihak polis setelah dia didapati menjual air ketum yang dicampur dengan ubat batuk di sebuah rumah di Taman Serai Wangi, Padang Serai, lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata suspek berusia 28 tahun itu dipercayai melakukan kegiatan itu sejak sebulan lalu di stor rumahnya.

Dalam serbuan yang dilakukan pada jam 5 petang, suspek dikatakan baru selesai membungkus 80 bungkusan air ketum. Serbuan turut menemui bungkusan di dalam sebuah tong air besar.

Turut ditemui dalam stor itu, sebuah periuk besar yang di dalamnya mengandungi daun hijau dipercayai daun ketum, sebuah dapur gas dan sebuah tong gas yang digunakan untuk masak air ketum.

Turut dijumpai tiga botol ubat batuk jenama Dynadryl Syrup. Manakala sebuah beg plastik hitam besar yang mengandungo daun ketum turut ditemui ketika serbuan.

Azhar berkata, campuran air ketum itu dianggarkan sebanyak 40,000 liter dan ia digunakan bagi tujuan mengkhayalkan peminumnya.

Hasil siasatan yang dilakukan ke atas suspek mendapati dia mempunyai dua rekod kesalahan lampau iaitu satu kes dadah dan jenayah.

Kesemua hasil rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim bersama suspek untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.–AlHijrah Online

Leave a Reply