JAIS LONGGARKAN SYARAT NIKAH BAGI LANJUTAN PKPB

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberi kelonggaran dalam pelaksanaan upacara akad nikah di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di seluruh Selangor mulai 2 November ini.

Ketetapan baharu susulan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga 9 November depan bagi memudahkan urusan akad nikah bagi rakyat Selangor.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, beberapa syarat telah ditetapkan bagi melaksanakan akad nikah, antaranya pemohon lelaki dan perempuan sudah mendapat kebenaran berkahwin di bawah Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 dari PAID.

“Hanya tiga orang dibenarkan hadir pada upacara akad nikah iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wali.

“Hanya lima sesi akad nikah dibenarkan dalam satu hari iaitu pada hari Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 4 petang,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, kebenaran diberi kepada pasangan dalam Selangor atau pihak lelaki atau pihak perempuan dari luar Selangor dengan tanggungjawab pihak-pihak mendapatkan kebenaran pergerakan rentas daerah atau negeri jika diperlukan oleh pihak berkuasa.

“Temujanji upcara bagi akad nikah boleh dibuat dengan menghubungi PAID untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

–AlHijrah Online

Leave a Reply