KAWASAN ‘LAUT TERBELAH’ DI PANTAI MEK MAS DITUTUP

KOTA BHARU: Kawasan berlakunya fenomena ‘laut terbelah’ sepanjang lebih satu kilometer yang menarik perhatian orang ramai ke Pantai Mek Mas, Kuala Besar di Kelantan ditutup sejak tiga hari lalu atas faktor keselamatan.

Tinjauan media mendapati, ada pita amaran dipasang sebagai peringatan kepada pengunjung untuk tidak mendekati kawasan itu selain terdapat papan tanda amaran dan bendera merah.

Dilaporkan bahawa penutupan itu juga dibuat memandangkan musim tengkujuh semakin tiba.

Keputusan menutup kawasan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Peringkat Jajahan.

Sejak beberapa hari lalu, ombak dan air pasang besar menyebabkan benteng pasir yang sebelum ini boleh dilalui kelihatan semakin tenggelam.

Sementara itu orang ramai diingatkan agar patuh arahan dan tidak sesekali memasuki kawasan tersebut kerana dibimbangi boleh membahayakan nyawa.

Fenomena ‘laut terbelah’ itu berlaku sejak lebih sebulan lalu disebabkan air surut yang kemudian membentuk beting pasir hingga membolehkan orang ramai berjalan ke tengah laut. –AlHijrah Online.

Leave a Reply