KDN pantau media sosial kekang aktiviti keganasan

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucaptama dalam Seminar Antarabangsa Mengenai Nilai Keagamaan dalam Mencegah dan Membalas Ekstremisme Keganasan (PCVE) di IIUM, Gombak Isnin lalu. FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR – Seramai 519 rakyat tempatan dan warga asing disyaki terbabit dalam aktiviti keganasan telah berjaya ditahan sehingga 31 Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebahagian daripada jumlah tahanan itu telah dibawa ke pengadilan mengikut Akta Kesalahan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA).

“Mereka terbabit dalam kegiatan-kegiatan yang kita anggap sebagai kegiatan pengganas yang dilihat dalam konteks undang-undang, dan sangat bahaya jika tidak ambil tindakan,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya turut memantau di media sosial yang turut menjadi platform aktiviti keganasan, dan kini berjaya menutup sebanyak 266 akaun terdiri daripada Facebook, Instagram dan Twitter.

Ketika ditanya berhubung rakyat Malaysia yang ditahan di Syria dipercayai terlibat dalam kancah keganasan dan telah membuat rayuan untuk pulang semula ke negara ini, beliau memaklumkan hanya terdapat satu keluarga yang telah memohon untuk pulang ke Malaysia. Namun kerajaan perlu meneliti secara mendalam kes-kes mereka dan implikasinya kepada negara.

“Memang ada rayuan dibuat oleh beberapa individu yang terbabit yang ditahan di sana termasuk isteri, keluarga dan sebagainya. Apapun kita belum buat keputusan,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan di Seminar Antarabangsa Mengenai Nilai Keagamaan Dalam Mencegah dan Mengawal Ekstremisme Ganas (PCVE) di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, Isnin lalu.

Sementara itu, berhubung ucaptamanya di seminar itu, Muhyiddin berkata kerajaan kini sedang merangka proses penyediaan Pelan Tindakan Nasional (NAP) di mana pihaknya memerlukan beberapa panduan melibatkan pelbagai pihak agensi dan badan antarabangsa yang berpengalaman untuk mewujudkan keseragamanan di semua peringkat dalam mencegah isu ekstremis dan keganasan di seluruh negara.

Sehingga akhir tahun 2018, sebanyak 25 negara telah memperkenalkan NAP PCVE antaranya Filipina dan Indonesia.

Leave a Reply