KEABSAHAN SEBAGAI PERDANA MENTERI AKAN DITENTUKAN MELALUI UNDI PERCAYA -PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan beliau telah menerima sejumlah surat akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang meyakinkannya masih mempunyai kepercayaan majoriti pada masa ini.

Jesteru katanya peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit.

“Namun, saya juga sedar bahawa kedudukan saya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan.

“Maka, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Ujarnya melalui cara itu kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

“Alhamdulillah, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan saya ini,” katanya. – AlHijrah Online

Muhyiddin pagi tadi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Majlis itu susulan warkah daripada Yang di-Pertuan Agong kepada Muhyiddin semalam yang memaklumkan terdapat lapan orang Ahli Parlimen UMNO telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka telah menarik sokongan kepada perdana menteri itu. — AlHijrah Online

Leave a Reply