‘SAYA TIDAK AKAN MENGORBANKAN PRINSIP SAYA DAN MEMBELAKANGI SUMPAH JAWATAN’ – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak akan mengorbankan prinsip dan membelakangi sumpah jawatan yang dipegangnya.
Menurut Muhyiddin sebagai perdana menteri beliau perlu menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada raja dan negara serta memelihara perlembagaan.
“Saya juga telah dituduh menderhaka kepada raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.
“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada raja dan negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” katanya dalam perutusan khas hari ini.
Perutusan khas tersebut dibuat selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pagi tadi.
Pertemuan itu susulan isu penarikan sokongan kepada perdana menteri oleh beberapa ahli Parlimen.
Muhyiddin dalam perutusan khas tersebut berkata usul undi percaya akan dibuat di Parlimen September depan bagi menentukan keabsahannya sebagai perdana menteri. – AlHijrah Online