KEMATIAN KHADER ADNAN TINDAKAN TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN ISRAEL – MOHD NA’IM

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Aktivis Palestin, Sheikh Khader Adnan yang dilapor meninggal dunia ketika dalam tahanan di penjara Israel.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kecuaian serta keengganan pihak berkuasa Israel untuk menyediakan kemudahan perubatan hingga menyebabkan kematian Khader Adnan adalah sangat tidak berperikemanusiaan serta tidak bertanggungjawab.
“Almarhum dilaporkan meninggal dunia di penjara Israel pada 2 Mei, selepas menghabiskan 86 hari mengadakan mogok lapar sebagai tindakan protes dan membantah penahanan sewenang-wenangnya pihak Israel terhadap rakyat Palestin serta layanan kejam terhadap tahanan.
“Semua pihak adalah diseru untuk menyatakan solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin yang masih dipenjarakan tanpa sebarang perbicaraan semata-mata kerana perjuangan rakyat Palestin yang menuntut kemerdekaan Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Mohd Na’im berkata semua pihak adalah diseru untuk menyatakan solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin yang masih dipenjarakan tanpa sebarang perbicaraan semata-mata kerana perjuangan rakyat Palestin yang menuntut kemerdekaan.
Katanya amat menyedihkan tahanan Palestin di penjara Israel termasuk golongan wanita dan kanak-kanak terus ditindas oleh rejim Israel.
“Kezaliman serta penyeksaan yang diperlakukan kepada tahanan Palestin adalah sesuatu yang bertentangan dengan prinsip keadilan dan hak asasi manusia.
“Dalam apa juga ruang yang ada, semua pihak perlu mengutuk tindakan rejim Israel sebagai isyarat jelas masyarakat dunia yang menolak sebarang bentuk kezaliman dan penganiayaan,” katanya.
Gaza kembali bergolak pada Selasa selepas tentera Israel melakukan serangan bom dan berbalas tembakan dengan pejuang Palestin susulan keganasan meningkat selepas kematian Khader.
Zionis mendakwa Gaza diserang dengan tembakan ‘kereta kebal’ sebagai tindak balas terhadap serangan roket yang dilancarkan dari Palestin.
Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menyifatkan kematian Khader sebagai ‘pembunuhan yang disengajakan’. – AlHijrah Online