Connect with us

ALHIJRAH NEWS

KEPUTUSAN MAHKAMAH SYARIAH TIDAK BOLEH DICABAR DI MAHKAMAH SIVIL – MOHD NA’IM

DALAM NEGARA

KEPUTUSAN MAHKAMAH SYARIAH TIDAK BOLEH DICABAR DI MAHKAMAH SIVIL – MOHD NA’IM

Keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh dibicarakan semula atau dicabar di Mahkamah Sivil kerana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa tersendiri yang diperuntukkan secara sah, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh dibicarakan semula atau dicabar di Mahkamah Sivil kerana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa tersendiri yang diperuntukkan secara sah, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Katanya, rakyat perlu menghormati keputusan kedua-dua mahkamah itu kerana Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan secara tegas memperuntukkan pengasingan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

“Saya mengambil maklum keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Maria Chin Abdullah untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang mengeluarkan notis tunjuk sebab dan memberi kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap beliau atas tuduhan menghina mahkamah.”

“Keputusan ini menunjukkan dengan jelas bahawa Mahkamah Tinggi Syariah telah bertindak dalam bidang kuasanya yang sah sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Tambahnya, tindakan memfailkan semakan kehakiman terhadap prosiding Mahkamah Syariah adalah satu percubaan untuk menghalang Mahkamah Tinggi Syariah daripada melaksanakan kewajipan kehakimannya dan ini ditolak secara tuntas oleh Mahkamah Persekutuan.

Tegasnya lagi, percubaan untuk membuka ruang kepada campur tangan Mahkamah Sivil dalam keputusan Mahkamah Syariah bukan sahaja bercanggah dengan semangat Perlembagaan, malah boleh menjejaskan kestabilan sistem kehakiman dualisme yang menjadi ciri unik sistem perundangan Malaysia.

Mohd Na’im berkata, kedua-dua Mahkamah Sivil dan Syariah hendaklah dilihat berperanan saling melengkapi dan bukan bersaing, dengan satu matlamat yang sama iaitu menegakkan keadilan dan kebenaran dalam kerangka perundangan negara.

“Saya menyeru agar semua pihak tidak mempolitikkan keputusan ini. Sebaliknya, kita harus mengambil iktibar dan memperkukuh komitmen terhadap prinsip kedaulatan undang-undang.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam, saya akan terus memperjuangkan kedudukan dan martabat Mahkamah Syariah agar ia terus dihormati, dipercayai dan diyakini oleh semua pihak demi kelangsungan sistem keadilan Islam yang adil, berwibawa dan berperlembagaan,” katanya.

Terdahulu, prosiding terhadap Maria Chin Abdullah bermula susulan kenyataannya yang mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berkaitan penahanan bekas isteri seorang ahli perniagaan dalam kes hak penjagaan anak.

Kenyataan itu didakwa menghina mahkamah sekali gus mendorong Mahkamah Syariah mengeluarkan notis tunjuk sebab dan memberi kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap beliau.

Maria kemudiannya mencabar tindakan itu di Mahkamah Sivil, namun permohonannya ditolak. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading