KERAJAAN HALANG SEMENTARA KEMASUKAN WARGA CHINA DARI WUHAN, WILAYAH SEKITAR HUBEI
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen iaitu eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual kepada rakyat negara China dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei di kelilingnya, berkuatkuasa serta merta.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri dikeluarkan hari ini, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara China, khususnya di Wilayah Hubei.
“Kemudahan imigresen ini akan diberikan semula setelah keadaan kembali normal.
“Wisma Putra akan menyelaras pelaksanaan keputusan ini bersama pihak Kerajaan China,” kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu.
Kenyataan itu juga menegaskan peringatan kerajaan kepada semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat tidak sah atau palsu berkenaan novel koronavirus ini yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman awam.
Sejak timbulnya kes jangkitan novel koronavirus 2019 di negara China minggu lalu, Kerajaan Malaysia mengikut prosedur-prosedur ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mendapat nasihat pakar-pakar untuk menghadapi dan membendung jangkitan ini dari merebak dengan meluas.
“Pemantauan dibuat dari semasa ke semasa. Pelbagai pihak sedang melakukan usaha yang terbaik untuk mencegah sebarang penularan,” kata kenyataan itu. — AlHijrah Online