KERAJAAN KENAL PASTI SUMBER LUAR TAMPUNG BEKALAN TELUR AYAM

PUTRAJAYA: Kerajaan mengenal pasti beberapa sumber dari luar bagi menampung keperluan bekalan telur ayam dalam negara dengan kadar segera.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata, pelan jangka pendek tersebut diambil bagi memastikan keterjaminan telur ayam di pasaran.

Katanya, kerajaan akan memastikan telur ayam yang diterima selamat daripada penyakit dan menepati piawaian yang ditetapkan selain protokol serta tatacara ditetapkan kerajaan perlu dipatuhi tanpa kompromi.

“Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukan untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan bekalan telur ayam dalam negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga.

“Keperluan membawa masuk telur ayam dari sumber luar juga akan dikaji semula setelah bekalan telur ayam kembali stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad turut meminta Ketua Setiausaha Kementerian melihat impak mengimport telur ayam dari sumber luar kepada industri telur ayam tempatan sedia ada.

Selain itu, pihaknya juga meminta Agrobank untuk mengemukakan cadangan bagi membantu pembekal dan pengusaha kecil supaya mereka kekal berdaya saing dalam industri tersebut.

“Kementerian sentiasa berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam negara kembali stabil dengan harga yang kompetitif.

“Kementerian yakin isu kekurangan bekalan telur ayam dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply