KERAJAAN SEDANG GIAT USAHA NAIK TARAF GURU KAFA

KUALA LUMPUR: Usaha-usaha menaik taraf guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ke jawatan tetap sedang giat dilakukan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan modul latihan serta melaksanakan latihan kompetensi kepada guru-guru KAFA, bagi menjadikan guru-guru KAFA kompeten dan bermutu dalam profesion keguruan.

“Pada masa yang sama, guru-guru KAFA perlu memenuhi kelayakan ikhtisas yang merupakan elemen penting bagi memenuhi syarat dan kelayakan yang ditentukan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Perkara-perkara ini akan sentiasa diperkemaskan dan dibuat secara berperingkat bagi memastikan hasrat penyerapan guru KAFA secara tetap dapat direalisasikan,” kata Zulkifli.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat ketika menjawab pertanyaan ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit.

Sabri meminta Perdana Menteri menyatakan tentang komitmen penarafan guru-guru KAFA sebagai guru tetap dan berpencen dan jika dalam kajian apakah ada penetapan unjuran dari segi tempoh masa ke arah penarafan tersebut.

Zulkifli berkata kerajaan akan terus komited dalam memastikan nasib guru KAFA sentiasa terbela dan berdiri setanding guru-guru sekolah lain.

“Pemerkasaan guru-guru KAFA akan terus menjadi komitmen utama kerajaan Perikatan Nasional, supaya institusi KAFA dan pendidikan Islam akan terus dilihat bermutu serta mampu menghasilkan alim ulama’ yang profesional dan menyumbang untuk ummah,” katanya.

Dalam pada itu Zulkifli berkata JAKIM akan melaksanakan pemerkasaan KAFA merangkumi perkara-perkara iaitu menyeragamkan pelaksanaan KAFA di seluruh negara dengan kerjasama JAKIM dan KPM, menyeragamkan kurikulum dan buku teks, menambah elemen tahfiz (juzuk 30) dalam kurikulum KAFA sebagai nilai tambah, serta latihan guru dan penyelia KAFA.

Selain itu kerajaan juga akan melaksanakan pengiktirafan kepada guru dan penyelia KAFA dengan mewujudkan skim perjawatan yang bersesuaian, menyusun semula struktur operasi pengurusan KAFA melibatkan aspek pengurusan sumber manusia, pembiayaan, pentaksiran dan infrastruktur. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply