KUALA KRAI: Kerajaan menerusi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini menyumbang RM100,00 kepada institusi pondok di Kelantan bagi menghargai usaha mendidik ajaran Islam dalam masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, institusi pondok telah sekian lama menjadi benteng ilmu, akhlak serta kefahaman agama dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Pondok merupakan jantung pendidikan Islam tradisional yang masih subur hingga hari ini, terutamanya di negeri Kelantan. Inilah kekuatan kita yang tidak boleh dikesampingkan.
“Dalam semangat Malaysia MADANI, kerajaan sentiasa komited memperkasa institusi pondok melalui pendekatan bersifat menyeluruh sama ada dari segi bantuan prasarana, peningkatan kapasiti guru, atau pengiktirafan sistem talaqqi dan turath,” katanya dalam Majlis Guru-Guru Pondok, di Pondok Sungai Durian, di sini hari ini.
Katanya, sumbangan kerajaan dengan kerjasama agensi-agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu diberikan kepada Pondok Sungai Durian dan 10 pondok lain di sekitar Kelantan.
Mohd Na’im berkata, bantuan itu merupakan manifestasi Kerajaan Madani yang bukan sahaja bercakap soal pembangunan fizikal, tetapi juga memberi keutamaan kepada pembangunan rohani dan ilmu.
“Saya percaya, jika kita terus memperkukuh ekosistem pendidikan pondok, maka kita akan melahirkan generasi Ummah Madani yang kukuh jatidiri, berilmu, beradab dan berakhlak tinggi.
“Saya juga menyeru agar masyarakat umum, NGO, dan sektor korporat turut bersama membantu institusi pondok kerana tanggungjawab ini bukan milik kerajaan semata-mata, tetapi amanah bersama,” katanya.—AlHijrah Online