HULU SELANGOR: Seorang penyelia ladang meninggal dunia selepas dipercayai ‘ditendang’ seekor lembu dan terjatuh dari jambatan berhampiran ladang sawit di Kerling, di sini pagi semalam.
Ketua Polis Hulu Selangor Supt Ibrahim Husin berkata, mangsa lelaki warga tempatan berusia 53 tahun itu ditemukan pekerja ladang pada jam 7.55 pagi di sungai berhampiran Ladang Batu 2, Kerling.
“Penolong pegawai perubatan ladang yang dimaklumkan oleh pekerja itu, bergegas ke tempat kejadian dan menemukan lelaki itu tidak sedarkan diri tetapi masih mempunyai nadi.
“Beliau segera mengarahkan pekerja melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum membawa mangsa ke Hospital Kuala Kubu Bharu, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan terhadap mangsa mendapati terdapat luka pada dahi mangsa dan bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat kecederaan otak traumatik yang teruk kerana terjatuh dari tempat tinggi.
Kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.—AlHijrah Online