KERAJAAN UAE SUMBANG BANTUAN BANJIR KEPADA LEBIH 700 ANGGOTA, KELUARGA ATM

KUALA LUMPUR: Lebih 700 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terjejas akibat banjir terutamanya di Pahang dan Selangor menerima sumbangan barangan keperluan asas daripada kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), hari ini.

Sumbangan yang disampaikan Duta UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammad Al-Ghaith merangkumi sejadah, Al-Quran, telekung, barangan memasak, kit pembersihan, tilam, tuala, selimut dan bantal yang dapat membantu meringankan beban mangsa banjir.

Menurut Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang, sumbangan tersebut akan mula diagihkan bermula hujung minggu ini kepada keluarga anggota ATM yang terjejas terutamanya di Selangor dan Pahang.

“ATM berterima kasih dengan keprihatinan dan bantuan Kerajaan UAE dalam membantu mereka yang terkesan dengan bencana banjir terutamanya warga tentera dan keluarga mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian bantuan mangsa banjir daripada Kerajaan UAE kepada ATM di Wisma Perwira di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah.

Affendi berkata sumbangan tersebut akan diatur gerak oleh ATM dan BAKAT yang menjaga hal ehwal keluarga anggota tentera serta akan diperluaskan kepada masyarakat umum bagi menyahut seruan kerajaan menjayakan konsep Keluarga Malaysia.—AlHijrah Online

Leave a Reply