KERAJAAN UMUM SOP DAN PROTOKOL HARI RAYA AIDILFITRI DI MASJID DAN SURAU

Gambar Fail – Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan beberapa kelonggaran dan ketetapan baharu prosedur operasi standard (SOP) dan protokol sambutan Hari Raya Aidilfitri di masjid dan surau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata, ketetapan baharu itu susulan kelonggaran SOP yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Alhamdulillah, setinggi kesyukuran kepada Allah SWT atas kurniaan dan limpah rahmat-Nya, kerajaan Malaysia telah menetapkan beberapa kelonggaran SOP COVID 19 yang telah diumumkan oleh pihak KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Idris melalui ketetapan baharu, Takbir Hari Raya dibenarkan dibuat di masjid dan surau serta di rumah ke rumah tetapi perlu sentiasa memakai pelitup muka, 

Bagi Solat Sunat Aidilfitri pula dibenarkan di masjid dan surau dengan kapasiti 100 peratus dan semua jemaah hendaklah sentiasa memakai pelitup muka semasa berada di dalam masjid dan surau termasuk semasa sedang solat.

“Untuk etika jemaah, elakkan 3S (kawasan sesak, tempat sempit, dan sembang dengan rapat), amalkan 3W (wash, warm, wear), digalakkan berwuduk di rumah dan membawa sejadah sendiri, masuk mengikut giliran untk mengelakkan kesesakkan dan bersurai dengan tenang,” katanya. 

Ujar Idris, jamuan raya selepas solat dan rumah terbuka di masjid dan surau dibenarkan dengan syarat memakai pelitup muka semasa majlis berlangsung.

Sementara itu untuk program ziarah, aktiviti kunjung mengunjung adalah dibenarkan termasuk aktiviti ziarah tanah perkuburan. 

Idris bagaimanapun menegaskan kesemua kelonggaran itu tidak terpakai kepada individu positif COVID-19 manakala mereka yang bergejala tidak digalakkan untuk menyertai.

“Semua SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan Malaysia adalah panduan umum, walaubagaimanapun ia tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri-negeri. 

“Saya mengharapkan dengan panduan ini, sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut oleh seluruh umat Islam di Malaysia akan menjadi hari yang mengikat dan memperkukuhkan persaudaraan sesama kita, dan merealisasikan hasrat pihak Kerajaan Malaysia dalam membentuk sebuah Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera,” katanya. – AlHijrah Online

Leave a Reply