KERETA TERBABAS, JATUH DALAM KAWASAN PEMBAIK PULIH KABEL BAWAH TANAH

KUALA LUMPUR: Sebuah kereta yang dipandu seorang wanita terbabas dan terjatuh ke dalam kawasan pembaik pulih kabel bawah tanah, di Jalan AU3 Setiawangsa menghala Ampang, di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi melibatkan wanita berusia 32 tahun bersama anaknya yang menaiki kenderaan jenis Toyota Vios telah melanggar penghadang air atau ‘water barrier’ di lokasi kejadian.

“Akibat pelanggaran itu, wanita terbabit dan anaknya tidak mengalami kecederaan dan kenderaan mangsa kemudian ditunda keluar dari kawasan pembaik pulih.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen RULE 10 LN 166/59 iaitu tidur semasa memandu atau lalai mengawal pergerakan kenderaan dengan baik dan kes masih dalam siasatan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Tular video di media sosial memaparkan orang awam yang berada di lokasi kejadian membantu wanita dan anaknya untuk keluar dari kereta yang terjatuh dalam kawasan pembaik pulih kabel bawah tanah.–AlHijrah Online

Leave a Reply