KES BULI, POLIS TAHAN ENAM ORANG PELAJAR

KUALA KANGSAR: Susulan kes buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar enam orang pelajar tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, semua pelajar berusia 13 tahun itu ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar selepas memberi keterangan.

Menurut Mior, dua pelajar ditahan ketika mereka hadir ditemani keluarga ke IPD Kuala Kangsar malam tadi.

Katanya, empat orang lagi pelajar telah ditahan ketika hadir ke IPD yang sama sekitar jam 6 petang hingga 7 semalam.

Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes itu di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Kesemua mereka termasuk pemilik akaun media sosial yang menularkan video kejadian tersebut telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Siasatan awal polis mendapati, kejadian buli terbabit berlaku antara jam 1 hingga 2 pagi kelmarin, membabitkan mangsa dengan tujuh suspek remaja lain yang kesemuanya adalah pelajar tingkatan 1 berusia 13 tahun.

Menerusi beberapa klip video tular itu, kelihatan sekumpulan pelajar mengambil giliran untuk menumbuk serta menendang seorang pelajar lain di asrama sekolah. –AlHijrah Online

Leave a Reply