KES PENDERAAN BELLA: TMJ TAWAR KHIDMAT PEGUAM SECARA PERCUMA

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes penderaan remaja orang kurang upaya (OKU) sindrom down yang dikenali sebagai Bella mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.

Dalam ciapannya di Twitter mengatakan Tunku Ismail menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati atau ‘watching brief’.

Ujar Tunku Ismail, beliau akan mengubungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun berhubung tawaran tersebut bagi pihak kementeriannya.

“Saya telah berhubung dan berbincang dengan peguam-peguam saya mengenai kes penderaan Bella.

“Kes ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan kerajaan sudah memulakan perbicaraan terhadap OKT (orang kena tuduh) dalam kes ini,” katanya.

Tambah Tunku Ismail, kes pendakwaan pada ketika ini melibatkan dua pihak antara pendakwa raya kerajaan bagi pihak kerajaan atau awam dengan peguam bela yang dilantik untuk mewakili tertuduh (OKT).

Semalam, isteri Tunku Ismail, Che’ Puan Khaleeda Bustaman turut menegaskan akan melakukan segala yang mungkin demi mendapatkan keadilan buat Bella.

Menurutnya, beliau berasa kecewa melihat pihak yang merasakan mereka boleh bertindak apa sahaja terhadap kanak-kanak teraniaya bagi melepaskan diri.

“Kamu boleh bersembunyi di belakang barisan peguam tetapi karma akan datang kepada kamu di dunia dan di akhirat,” kata Che’ Puan Khaleeda.

Sebelum ini Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.–AlHijrah Online

Leave a Reply