MADAD MAMPU BERI PERKHIDMATAN PERCUMA MELALUI EKOSISTEM YANG DIBANGUNKAN

SUNGAI PETANI: Murtadha Dakwah Centre (MADAD) memperkukuh ekosistem perniagaannya menerusi pelbagai sektor bagi memperkasa usaha dakwah serta menjaga kebajikan asnaf.

Pengarah urusannya, Yaakub Yusra Mohd Yusoff berkata, ekosistem ekonomi MADAD itu membolehkan MADAD memberi bantuan serta menawarkan perkhidmatannya secara percuma kepada masyarakat secara berterusan.

“Ekosistem yang kita bentuk sejak 2019 ini bagi memastikan kelangsungan MADAD. Kita bersyukur dengan adanya ekosistem ini kita mampu terus beroperasi walaupun dihimpit isu COVID-19.

“Jadi kita sedang merancang untuk mengembangkan lagi ekosistem MADAD dengan tahun ini kami jangka akan buka klinik kesihatan, kedai gunting rambut, dan pusat jagaan kanak-kanak,” katanya kepada media pada Majlis Pelancaran Ramadan Bersama Ekonomi Kita di Sungai Petani pada Jumaat.

Ketika ini, antara projek penternakan dan pertanian yang dilaksanakan dalam ekosistem tersebut ialah kolam ikan siakap, kolam udang karang, ternakan ayam kampung, ternakan lembu dan kambing serta tanaman mangga harum manis.

Dalam pada itu, Mohammad Yaakub berkata MADAD turut menceburi perniagaan saham patuh syariah sebagai sumber pendapatan tambahan.

Beliau berkata dengan hasil ekosistem MADAD ia akan membantu kelancaran pembinaan Murtadha Dakwah Centre iaitu sebuah pusat komuniti Islam yang dilengkapi masjid, rumah warga emas, pusat tahfiz integrasi, kapsul hotel, stadium e-sports, hub sukan sunah serta penyediaan khidmat pengurusan jenazah.

Pembinaan pusat komuniti Islam itu dijangka siap sepenuhnya pada 2025 dengan kos keseluruhan sekitar RM35 juta.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi bersama-sama menjayakan penubuhan pembinaan pusat komuniti Islam MADAD boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank 5520 5980 7117 atas nama Murtadha Dakwah Centre, atau boleh klik link http://www.madadcentre.com serta boleh juga hubungi nombor hotline 014-601 9090 atau 014- 601 9494.–-AlHijrah Online

Leave a Reply