KUALA LUMPUR: Lima remaja yang akan didakwa di mahkamah esok akan dituduh atas kesalahan membuli Zara Qairina Mahathir dan bukan berkaitan dengan menyebabkan kematiannya.
Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini dalam kenyataannya berkata, prosiding inkues pada 3 September depan masih perlu dijalankan bagi menentukan punca kematian sebenar Zara Qairina.
Penjelasan tersebut dibuat selepas peguam kepada keluarga Zara Qairina memohon agar pihak peguam untuk menangguhkan pendakwaan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan serta cadangan pertuduhan pihak peguam di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendorong seseorang hingga menyebabkan kecederaan pada dirinya sendiri atau orang lain.
“Berdasarkan penelitian Jabatan ini terhadap kertas siasatan, pertuduhan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibuat kerana pertuduhan ini merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Zara Qairina.
“Kenyataan peguam di Perenggan 4 kepada Kenyataan Media tersebut adalah bersifat spekulatif tanpa disokong oleh fakta yang tepat,” katanya hari ini.
AGC turut menegaskan bahawa pertuduhan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan bagi kes tersebut bersandarkan kepada bukti dan fakta yang diperoleh hasil daripada siasatan yang dijalankan.
Sebagai rekod, Seksyen 507C(1) meliputi kesalahan menggunakan atau mengeluarkan kata-kata atau komunikasi yang mengugut, menghina, atau bersifat kasar yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.–AlHijrah Online