KESELURUHAN JEMAAH HAJI MALAYSIA TELAH BERADA DI ARAFAH UNTUK WUKUF

MAKKAH: Seramai 31,600 jemaah haji Malaysia kini telah berada di bumi Arafah untuk melaksanakan ibadah wukuf.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau telah membuat tinjauan ke khemah para jemaah haji Malaysia dan mendapati jemaah dalam keaadaan yang baik dan bersedia untuk berwukuf.
“Seramai 300 petugas “advance party” telah bersiap siaga. Pada masa yang sama, rombongan pasukan kebajikan dan perubatan telah bergerak ke Arafah pada malam 7 Zulhijjah bermula jam 12.00 malam untuk memastikan kemudahan-kemudahan di Arafah serta aktiviti sambutan ketibaan jemaah haji.
“Pada tahun ini, Tabung Haji (TH) meneruskan usahanya bagi memastikan kesempurnaan ibadat haji bagi jemaah haji yang sakit atau uzur melalui pelaksanaan Safari Wukuf yang telah diperkenalkan sejak tahun 2016.
“Ia membolehkan mereka yang sakit berwukuf di Arafah dengan meneruskan proses perawatan pesakit di dalam ambulan bas,” katanya dalam catatan di Facebook.
Mohd Na’im berkata TH juga melaksanakan Program Prihatin Tetamu Ar-Rahman (PENEMAN) bagi membantu jemaah warga emas yang dikenal pasti memerlukan bantuan dan bimbingan khusus sepanjang tempoh kemuncak ibadah haji atau masyair.
“Seramai 50 pertugas haji akan menjaga 50 orang jemaah haji secara ‘one to one’ sepanjang masyair dan menguruskan jemaah haji ke bilik air, mengurus diri, bimbingan beribadah serta menjaga makan minum.
“Insyaallah TH akan sentiasa melakukan tugasan dengan bersungguh-sungguh bagi menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia,” katanya.
Tempoh wukuf di Arafah hari ini bermula pada jam 12.23 tengah hari hingga 7.05 malam waktu Arab Saudi dan 5.23 petang hingga 12.05 tengah malam waktu Malaysia. — AlHijrah Online