Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

KISAH USAHAWAN ASNAF MAIWP DIBANTU HINGGA MAMPU JADI PEMBAYAR ZAKAT

DALAM NEGARA

KISAH USAHAWAN ASNAF MAIWP DIBANTU HINGGA MAMPU JADI PEMBAYAR ZAKAT

KUALA LUMPUR: Tidak dinafikan kemiskinan harta boleh menjadi cabaran atau rintangan untuk seseorang mengecapi kejayaan.

Kekurangan wang ringit atau harta yang terhad mengecilkan peluang kejayaan individu, terutama golongan asnaf yang mahu keluar dari kepompong kemiskinan.

Atas sebab itu agensi seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) penting untuk menyediakan pelbagai program bantuan bagi mengubah kehidupan golongan kurang berkemampuan melalui wang zakat.

Sempena Karnival MAIWP 2024: 50 Tahun Memacu Kegemilangan, Alhijrah Online mendekati usahawan asnaf yang dibantu MAIWP untuk mendengar kejayaan mereka dalam bidang perniagaan.

Muhammad Afdhaluddin Kamaruzaman, salah seorang usahawan asnaf MAIWP yang ditemui berkongsi rasa syukur dengan bantuan modal perniagaan yang diterima hingga membolehkan beliau membuka gerai jualan makanan dan menjana pendapatan.

“MAIWP bukan sahaja beri modal perniagaan, malah saya juga mendapat didikan kursus dan pengurusan kewangan yang membantu saya mengembangkan perniagaan,” katanya.

Muhammad Afdhaluddin berkata beliau telah menjadi usahawan di bawah MAIWP sejak 2021 dan tahun demi tahun, beliau dapat melihat perniagaannya semakin berkembang.

Kejayaan itu memberi ruang kepadanya yang sebelum ini menerima zakat untuk menjadi pembayar zakat agar lebih ramai pihak kurang berkemampuan dapat dibantu.

Seorang lagi usahawan asnaf yang ditemui ialah Nina Dayana Saiful NIzam, yang juga pengusaha jualan makanan.

Selain menerima bantuan modal perniagaan, beliau juga diberi peluang oleh MAIWP untuk menjadi penyedia makanan bagi program edaran makanan kepada asnaf di Danau Kota, Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah MAIWP banyak membantu. Saya harap orang lain juga akan menerima peluang dan bantuan yang sama,” katanya.

Terbaru NIna Dayana turut menerima bantuan trak makanan dari MAIWP yang memudahkannya menjalankan perniagaan.

Turut menerima bantuan trak makanan ialah Rozilawati Ismail, salah seorang usahawan asnaf di bawah MAIWP.

Rozilawati telah enam tahun menerima bimbingan perniagaan dari MAIWP dan beliau mengakui program itu banyak membantu kehidupannya.

“Saya banyak dibantu dari segi kewangan dan pengurusan perniagaan. Terbaru dibantu pula dengan trak makanan yang memudahkan urusan perniagaan.

“Alhamdulillah sekarang dengan ada trak makanan peluang perniagaan lebih luas dan dapat tambah rezeki,” katanya.

Antara usaha yang dilakukan MAIWP bagi pembangunan asnaf ialah Program Keusahawanan, Program Agroprenuer, Program Latihan Kemahiran Industri, Program Pendidikan, dan Program Pengupayaan Usahawan Food Truck dan Kedai Makan Asnaf. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading