KONVOI YADIM: USAHA PEYEBARAN AJARAN ISLAM SECARA KREATIF DAN BERKESAN

KUALA LUMPUR: Kaedah dakwah yang kreatif dan bijaksana mampu menarik perhatian golongan sasar dengan lebih berkesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, usaha agensi agama seperti Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) dalam menganjurkan acara konvoi bermotosikal dilihat mampu memberi kesan positif khususnya kepada generasi muda.

“Usaha seperti ini dengan berkonvoi kita nak zahirkan bahawa agensi agama seperti YADIM boleh memainkan peranan yang besar yang mungkin memberi kesan kepada remaja dan orang muda tatkala melihat konvoi-konvoi yang datang ke kampung halaman dan desa mereka.

“Sekurang-kurangnya berlaku satu interaksi dan muamalat dakwah yang akan memberi kesan cukup baik, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelepasan 20 peserta Konvoi Motosikal Semarak Dakwah di pekarangan Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur pagi tadi.

Konvoi anjuran YADIM itu akan mengunjungi tiga kampung orang asli di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang yang dianjurkan juga sempena bulan kemerdekaan 2020.

Antara pengisian lain termasuklah ‘street dakwah’, sesi kaunseling, kesedaran kesihatan, santai anak muda, tahsin Al-Quran dan bina insan.

Turut hadir dalam pelepasan konvoi pagi tadi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary dan Yang Dipertua YADIM, Nasruddin Hasan. — AlHijrah Online / Siti Baizura Shafiee

Leave a Reply