KESIHATAN HARUSSANI BERTAMBAH BAIK, BOLEH BERCAKAP DAN ADA REAKSI – DOKTOR

IPOH: Keadaan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Ipoh pagi semalam akibat serangan strok, telah bertambah baik.

Pakar Perubatan dan Neurologi Hospital KPJ Ipoh, Datuk Dr Zakaria A. Kadir berkata, ilmuan agama itu mula menunjukkan maklum balas positif petang semalam selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 9 pagi.

“Keadaannya agak teruk semalam tetapi telah beransur baik dan hingga hari ini nampaknya Tan Sri sudah bertambah tindak balas daripada semalam dan boleh juga sekarang ni menjawab kepada soalan-soalan mudah yang kita tanya dan juga boleh bercakap beberapa perkataan dan ada reaksi emosi, Alhamdulillah,” katanya.

Dr Zakaria berkata, Harussani mengalami kesukaran untuk bercakap semalam dan lemah pada bahagian badan sebelah kanan.

Ujar beliau, pihaknya akan terus memantau perkembangan Harussani dari masa ke masa dan mungkin memerlukan dua hingga tiga hari di wad ICU sebelum dipindahkan ke wad biasa untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Exco Agama dan Penerangan Negeri, Mohd Akmal Kamarudin yang menziarahi Mufti Perak itu pagi tadi berkata, semua masjid di negeri itu diminta mengadakan solat sunat hajat dan bacaan Yaasin selain terus berdoa untuk kesejahteraan dan kesihatan Harussani.

Exco Agama dan Penerangan Negeri, Mohd Akmal Kamarudin (KANAN)

Katanya, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan pekeliling kepada semua masjid di negeri itu untuk menganjurkan solat hajat dan bacaan Yaasin.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri Perak sedih dengan apa yang berlaku, cuma kita boleh mohon kepada seluruh rakyat Perak dan negara ini dapat mendoakan supaya Tan Sri kembali pulih seperti sedia kala kerana khidmat bakti masih diperlukan, dengan jasanya yang begitu besar terhadap ummah,” katanya.

Semalam, Harussani dikejarkan ke hospital selepas mengalami strok di rumahnya selepas solat Subuh. — AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply