Krisis Makanan dan Tragedi Miskin Bandar

Seorang suri rumah di Cheras membeli Perodua Kancil terpakai keluaran tahun 2000 dengan harga RM2,500. Dia mahu memulakan bisnes membantu suaminya, seorang pekerja rencam yang mahir dengan kerja perpaipan rumah.

Keluarga ini tinggal di apartment sederhana yang dibeli pada 2005 dengan harga RM215 ribu. Pinjaman perumahan sekitar RM800 sebulan. Wanita ini hanya suri rumah sejak mula berkahwin. Pendapatan perkerjaan suaminya pula, secara purata ialah RM3,500 sebulan.

Bagaimana kereta Kancil ini mampu mencipta kerjaya?

Mudah. Sikap aktifnya di Facebook mendedahkan pergaulannya pada ramai usahawan wanita yang menjalankan perniagaan dari rumah. Sama ada pembuat kek cawan, tukang jahit, usahawan kuih-muih, sampailah penjual pakaian dan ubat-ubatan kucing peliharaan.

Semua rakan-rakan usahawan ini memerlukan seseorang untuk khidmat menghantar tempahan. Jadi, suri rumah ini menghidu peluang perniagaan. Dia menjadi penghantar tempahan. Pada era semua khidmat mahukan kesegeraan servis, khidmat pos laju bukan lagi pilihan terbaik.

Kuih-muih, kek cawan, ubatan kucing atau tempahan langsir memerlukan penghantar yang efisien. Apabila tempahan siap waktu malam, pelanggan mahukan servis penghantaran waktu pagi. Begitu juga tempahan yang siap waktu pagi, pelanggan mahukan tempahan tiba waktu petang.

Suri rumah ini menghidu demand bisnes penghantaran cepat untuk urus niaga sekitar Kuala Lumpur. Justeru, Perodua Kancil terpakai satu keperluan untuk mencipta peluang pekerjaan.

Wanita ini menjadi penghantar tempahan dengan caj servis antara RM10 hingga RM25 mengikut jarak dan saiz barangan penghantaran. Jadualnya unik kerana wanita ini menyediakan servisnya dua kali sekali sehari. Pagi dan petang.

Pada hari Sabtu dan Ahad, servisnya ditambah sekali lagi pada 8.00 malam.

Ini kreativiti dan kemahuan seorang suri rumah dalam usaha mencari peluang bisnes. Dia memperolehi pendapatan bersih sekitar RM2,500 sebulan. Angka gaji yang baik bagi lulusan SPM yang tiada kemahiran.

Namun, tidak semua wanita memiliki kebolehan dan daya saing yang kompeten seperti suri rumah ini.

Tragedi Miskin Bandar

Sekiranya anda menjejak Charity Zone, Jalan

Chow Kit berdekatan Tune Hotel, puluhan wanita gelandangan dan miskin bandar hidup dalam keadaan menyedihkan.

Gelandangan sekitar Chow Kit

Charity Zone ialah kawasan aktivis sosial menjalankan pelbagai kerja amal. Puluhan NGO dan sukarelawan pelbagai sektor, menjalankan kerja amal sepanjang tahun. Aktiviti amal memuncak pada setiap Ramadan.

Fokus utama aktiviti harian ialah mengedarkan makanan dan rawatan kesihatan. Namun, pada Ramadan, projek bantuan pakaian terpakai menjadi fokus utama. Selain ribuan pek makanan diedarkan, puluhan kotak pakaian terpakai turut disumbangkan pelbagai pihak setiap malam.

Program pakaian terpakai ini mencetuskan fenomena luar biasa. Ratusan wanita suri rumah muncul saban malam. Selain mendapatkan rezeki berbuka dan bersahur, tumpuan utama ialah mengutip pakaian yang didermakan. Siapakah wanita ini?

Mereka bukan gelandangan. Mereka bukan manusia tanpa rumah. Majoritinya suri rumah daripada keluarga miskin sekitar Kuala Lumpur. Biasanya penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Sentul dan Kampung Baru. Malah, ada dari sekitar Cheras dan Selayang. Mereka memiliki rumah sewa PPR, tapi kekurangan wang dan makanan.

Makanan turut diberikan kepada golongan miskin bandar

Bagi yang bergelandangan, kita faham keadaan mereka. Gelandangan adalah golongan yang menghadapi krisis sosial. Banyak faktor penyebabnya.

Ada gelandangan yang memiliki hingga lapan anak. Namun, tidak berumah. Anak-anak hidup bergelandangan. Tiada tempat tinggal dan tidak bersekolah.

Manakala suri rumah pula ialah keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di flat-flat murah milik DBKL. Gaji suami sangat kecil. Sekitar RM1,500 hingga RM2,000. Purata anak-anak antara dua hingga enam orang.

Justeru, bantuan makanan ini mampu menjimatkan kos makan malam antara RM10 ke RM20 sehari. Mendapatkan bantuan makanan yang diedarkan NGO satu tindakan perlu.

Beban kemiskinan memaksa mereka keluar membawa anak-anak dan menanti makanan yang diedarkan aktivis sosial.

Bantuan makanan ini mampu menjimatkan kos bulanan antara RM400 hingga RM600 sebulan. Ia satu angka besar bagi warga miskin bandar yang berpendapatan sekitar RM1500 hingga RM2000 sebulan.

Pemandangan di Charity Zone, Jalan Chow Kit sangat mengejutkan. Selama 32 tahun saya tinggal di KL, dan menjadi remaja yang membesar di Pasar Chow Kit – keadaan sekarang ini satu kejutan.

Kehadiran warga miskin bandar mencari makan malam yang dulunya disediakan untuk gelandangan, pekerja seks dan penagih dadah – kini berubah menjadi satu fenomena menyedihkan.

Melihatkan wajah ratusan warga kota berusia sementah bayi tiga bulan hingga warga emas lebih 70 tahun berada di kawasan ini, satu pengalaman yang menyentuh perasaan.

“Suami saya bekerja di Plaza GM,” kata wanita muda sambil mendukung bayinya: “Dapatlah upah RM30 atau RM40 sehari.”

Upah yang tidak menentu menyebabkan keluarga ini tidak mampu menyediakan makanan yang sempurna kepada anak-anak. Jadi, pada malam hari, mereka berpeleseran di Charity Zone menanti rezeki.

Ini fakta. Semua NGO dan aktivis sosial yang menjalankan kerja-kerja amal di sekitar Chow Kit faham fakta ini.

Bersama aktivis Laskar4Life, penulis sudah menjalankan projek mengedarkan makanan pada setiap Khamis malam, sejak 2013. Makanan bukan lagi untuk gelandangan, tetapi lebih diperlukan keluarga miskin bandar.

Ada sepasang suami isteri memiliki lapan anak berusia antara tujuh bulan hingga 12 tahun. Suaminya bekerja sebagai buruh rencam yang mencari rezeki dengan pelbagai cara. Sama ada mencuci kereta atau membantu di kedai makan sekitar Chow Kit.

“Gaji RM40 hingga RM50, ia tidak cukup anak-anak makan tiga kali sehari,” katanya.

Anak sulungnya yang berusia 12 tahun kelihatan sangat menyedihkan. Tubuhnya kecil sebaya kanak-kanak lapan tahun. Satu tanda jelas kekurangan nutrisi.

“Adik pergi sekolah?” Tanya saya.

Dia hanya terdiam. Matanya bergenang. Sesiapa saja tidak mungkin mampu bertanya soalan seterusnya.

Chow Kit, di sekitar Charity Zone hinggalah ke Belakang Mati (Lorong Haji Taib) masih banyak menyimpan kisah alaf baharu yang tragis. Ia bukan lagi kisah pondan, kisah pekerja seks murahan atau penagih dadah tegar. Zaman lara itu sudah lama berlalu.

Chow Kit kini menyimpan kisah warga miskin bandar yang terbeban dengan krisis makanan yang serius. Satu impak ekonomi yang teruk bagi kalangan miskin bandar yang belum diriuhkan media massa.

Ini realiti – tapi adakah kita semua menyedarinya?

*Zainal Rashid Ahmad, penulis ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

Leave a Reply