KUBUR ETNIK UIGHUR DIMUSNAHKAN

Imej satelit menunjukkan kawasan tanah perkuburan etnik Uighur yang telah ‘diratakan’.

BEIJING : Tanah perkuburan Islam bagi etnik Uighur dimusnahkan kerajaan China dalam usaha menghapuskan identiti Islam di wilayah Xinjiang.

AFP dalam laporannya berkata, hasil analisis imej satelit menunjukkan puluhan tanah perkuburan dimusnahkan dalam tempoh dua tahun dan terdapat beberapa tanah perkuburan yang telah dijadikan kawasan parkir kereta dan taman permainan.

Wartawan agensi berita itu memaklumkan bahawa beliau melihat sendiri serpihan tulang temulang bertaburan di tiga lokasi, manakala di kawasan lain menyaksikan kubur terbabit diratakan.

Menurut kenyataan pihak pembangunan bandar, mereka memberi penjelasan bahawa tindakan meratakan kawasan perkuburan itu adalah satu langkah biasa dilakukan untuk kawasan perkuburan yang telah lama berada di situ.

Imej itu didedahkan selepas pihak berkuasa Xinjiang pada awal minggu lalu mendakwa pegawai mereka melakukan tugas ‘biasa’ selepas rakaman mengejutkan memaparkan pemindahan ratusan tahanan Muslim dirantai dan mata mereka ditutup yang memberi pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat antarabangsa.

Bagi etnik Uighur yang menetap di luar negara, mereka mendakwa langkah pemusnahan itu adalah sebahagian kempen kerajaan untuk mengawal setiap elemen dalam kehidupan mereka.

“Ini adalah kempen China untuk menghapuskan sebarang bukti tentang kami dan secara efektif menjadikan kami seperti kaum Han (penduduk Cina).

“Itulah sebabnya mereka memusnahkan kesemua tapak sejarah itu dan tanah perkuburan untuk memutuskan hubungan kami dengan sejarah dan nenek moyang kami,” kata Salih Hudayar yang mendakwa kubur moyangnya turut menjadi sasaran kempen tersebut.

China kini berdepan kecaman negara antarabangsa selepas lebih sejuta etnik minoriti Islam ditahan di kem pendidikan semula di Xinjiang atas alasan untuk memerangi ekstremisme dan separatisme. — Agensi

Leave a Reply