KUMPULAN MAK NYAH CABUL HAK JEMAAH WANITA?
Oleh Zaim Zamani
KUALA LUMPUR: Tindakan kumpulan transgender atau ‘mak nyah’ mengerjakan umrah dengan berpakaian wanita, yang tular ketika ini, bukan hanya mempersendakan agama, malah mencabul hak jemaah lain, terutamanya wanita.
Pendakwah bebas, Syed Shahridzan berkata, tindakan kumpulan itu yang berpakaian seperti perempuan dan melakukan ibadah di kawasan wanita merisikokan aurat jemaah terdedah kepada mereka dan berkemungkinan wuduk terbatal jika bersentuhan.
“Seperti mana dalam video, mereka memaklumkan melakukan ibadah di Raudah dan bayangkan lelaki dan perempuan berasak-asak di kawasan Raudah yang sesak.
“Ada kemungkinan boleh tersentuh dan terpegang alat sulit bukan mahram, ini bertentangan dengan syarak dan penganiayaan kepada jemaah wanita yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada Berita AlHijrah di sini hari ini.
Syed Shahridzan yang juga seorang mutawif di sebuah agensi pelancongan tempatan memaklumkan tindakan individu terbabit boleh mencemarkan nama baik jemaah Malaysia yang sering dipandang tinggi warga tempatan di sana.
“Dekat Mekah, orang awam panggil jemaah kita ‘Burung Syurga’ kerana adab dan tingkah laku yang baik.
“Tindakan yang dilakukan kumpulan ‘Mak Nyah’ ini boleh menimbulkan kemarahan penduduk sana kerana melakukan perkara yang melanggar hukum syarak,” kata Syed Shahridzan.
Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan jabatan agama Islam yang lain perlu memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya, kumpulan transgender tidak pernah dilarang mengerjakan ibadah umrah, malah digalakkan untuk melakukannya.
Bagaimanapun, ia perlu dilakukan berlandaskan hukum syarak dan mengikut jantina asal mereka, katanya.
Media sosial ketika ini kecoh dengan tindakan seorang usahawan kontroversi Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau Nur Sajat berpakaian wanita ketika melakukan ibadah di tanah suci. — AlHijrah Online