LAGI KAKITANGAN HOSPITAL KAJANG DITUDUH TERIMA RASUAH PENGURUSAN JENAZAH

IPOH: Seorang lagi kakitangan Hospital Kajang didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah pengurusan jenazah sejak April tahun lalu.

Tertuduh, Penolong Pegawai Perubatan, Mohd Fariq Ariffin, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim M. Bakri Abd Majid.

Mengikut pertuduhan Mohd Fariq didakwa menerima rasuah berjumlah RM1,750 antara 28 April 2020 hingga 5 Februari 2021.

Dia yang bertugas di Unit Forensik Hospital Kajang didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank cawangan Bercham, Ipoh.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17 (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan di samping syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap awal bulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes dibenar dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk disebut semula pada 10 Januari bersama beberapa tertuduh lain.

Semalam, tiga kakitangan Hospital Kajang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan ‘memperdagangkan’ 14 jenazah lelaki Islam selama dua tahun bermula 2019. – AlHijrah Online

Leave a Reply