LAPAN RANCANGAN BAHARU TV ALHIJRAH

KUALA LUMPUR: Meskipun tahun 2020 hampir melabuhkan tirainya, namun stesen televisyen Islam utama negara, TV Alhijrah terus berusaha memenuhi keperluan rohani penonton yang dahagakan rancangan-rancangan yang membaja nurani dan budi penonton seisi keluarga.

Terbaharu, menerusi kempen “Bersama TV AlHijrah Seisi Keluarga”, stesen tv yang dinobat Media Islam Bertanggungjawab itu menerbitkan lapan rancangan baharu serta dua kapsul istimewa.

Kempen tersebut akan bemula pada 28 November 2020 hingga 31 Januari 2021 dan dilancarkan istimewa bagi memenuhi keperluan rohani penonton yang dahagakan rancangan-rancangan yang membaja nurani dan budi penonton seisi keluarga.

Antara rancangan-rancangan tersebut adalah Haflah, Jom Dengar Cerita, Cinta Suami Isteri, filem 99 Cahaya Langit Eropa, filem Bulan Terbelah di Langit Amerika, Hijrah Berselawat, Cinta Ilmu, My H.A.U.S, Kapsul Inilah Doaku dan Kapsul Resepi Juadah Anda.

Haflah yang disiarkan setiap Sabtu, 7.30 malam bermula 5 Disember ini, adalah sebuah rancangan yang memartabatkan pembacaan Al-Quran dengan maqam seni tarannum seperti Bayati, Nahawand, Rast, Sikah, Hijaz dan Jiharkah.

Para penonton akan ditemani barisan Qari kebangsaan dan antarabangsa seperti Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, Dr. Anuar Hasin, Ustaz Wan Ainuddin, Ustaz Radzi dan Kamarul Hailan dalam mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran dengan penuh kelunakan dan tertib yang pastinya menjadi halwa telinga dengan ganjaran pahala yang besar.

Program Jom Dengar Cerita yang disiarkan setiap Jumaat, 6.55 petang bermula 14 Disember 2020 pula, pastinya memikat hati dan jiwa penonton cilik TV AlHijrah serta seisi keluarga dengan 15 kisah agung Nabi Allah SWT yang diceritakan oleh Ustaz Fadzli Aziz dan Ustazah Noni.

Antara kisah-kisah nabi yang menjadi tauladan adalah kisah Nabi Adam A.S, kisah Nabi Idris A.S, kisah Nabi Nuh A.S, kisah Nabi Ibrahim A.S dan banyak lagi.

Manakala Cinta Suami Isteri disiarkan setiap Ahad, 6.30 petang bermula 13 Disember ini, merupakan program bual bicara yang membincangkan isu kekeluargaan Islam dan solusi berlandaskan Syariah.

Program ini dihoskan oleh Azidah Mohamed dan ditemani panel-panel jemputan seperti Ustazah Nik Salida Nik Salleh, Ustazah Shadiya, Imam Muda Hassan dan Ustaz Zul Ramli Mohamad Razali.

Mereka akan bersama-sama membincangkan topik-topik menarik seperti Kahwin Kelambu, Suamiku Panas Baran, Isteri Gila Kerja, Isteri Royan Aib Suami dan banyak lagi.

Sementara itu, filem 99 Cahaya Langit Eropa pula akan disiarkan pada 9 malam dalam dua bahagian iaitu 21 November 2020 untuk bahagian 1 dan 28 November 2020 untuk bahagian 2.

Filem 99 Cahaya Langit Eropa adalah kisah adaptasi novel yang dilakonkan oleh Acha Septriasa, Abimana Aryasatya, Raline Shah dan ramai lagi.

Filem ini berkisar sekitar kehidupan seorang wartawan yang berhijrah ke Australia bersama suaminya demi ilmu.

Satu lagi filem yang akan disiarkan dalam kempen kali ini ialah filem Bulan Terbelah di Langit Amerika pada 26 Disember 2020, Sabtu, jam 9 malam.

Filem Bulan Terbelah di Langit Amerika adalah kesinambungan daripada filem 99 Cahaya Langit Eropa.

Namun pada kali ini kisah penceritaan tertumpu kepada penjelajahan Hanum dan Rangga yang menjalankan misi mengesan harta karun misteri milik pelaut Muslim Tiongkok yang belayar ke Amerika sebelum Columbus.

Bagi meneruskan momentum besar yang terhasil daripada program Hijrah Berselawat di TV AlHijrah PADA 12 Rabiulawal yang lalu, serta bagi meneruskan budaya berselawat dan memuji baginda SAW, TV AlHijrah ingin mengajak penonton untuk terus membudayakan selawat dan salam.

Usaha itu digerakan menerusi program Hijrah Berselawat yang akan disiarkan pada Khamis terakhir setiap bulan, jam 9 malam, bermula 31 Disember 2020.

Selain dimeriahkan dengan kehadiran kumpulan nasyid dan artis tempatan, turut bersama di dalam rancangan itu adalah para pentazkirah seperti Habib Ali Zaenal Abidin, Habib Najmuddin Othman Al Khered, Ustaz Don Daniyal yang akan berkongsi sifat dan perilaku Baginda SAW untuk dijadikan suri teladan oleh umat masa kini.

Satu lagi program yang diteribatkan dalam kempen kali ini ialah Cinta Ilmu, sebuah program yang cukup dekat dengan hati penonton TV AlHijrah sejak stesen ini ditubuhkan.

Bermula tahun 2021, Cinta Ilmu diberi nafas baharu dalam menjawab kemusykilan agama terutamanya persoalan yang berkenaan akidah, sirah dan ibadah bersama Ustaz Datuk Badli Shah Alauddin, Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali dan Ustaz Roslan Mohamed.

Ia akan disiarkan setiap Isnin hingga Rabu, 7.30 malam bermula 4 Januari 2021.

My H.A.U.S yang disiarkan setiap Isnin, 9 malam bermula 25 Januari 2021 pula, adalah sebuah program realiti ubah suai rumah Asnaf yang memerlukan perhatian khusus bagi mendapatkan tempat kediaman selesa dan boleh diduduki seisi keluarga.

Program yang dihoskan pengacara dan penceramah terkenal, Syamsul Debat, menampilkan 13 keluarga Asnaf terpilih yang diberi bantuan untuk membaiki kediaman mereka.

Sementara itu Kapsul Inilah Doaku adalah himpunan doa-doa pilihan untuk pelbagai situasi kehidupan harian.

Kapsul yang disiarkan setiap hari, pada 8.30 malam bermula 1 Disember 2020, mengajak penonton menghafal doa, memahami maksudnya serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Satu lagi kapsul yang diterbitkan dalam kempen kali ini ialah Kapsul Resipi Juadah Anda yang disiarkan setiap Sabtu dan Ahad pada 6.55 petang bermua 28 November 2020.

Kapsul ini adalah koleksi video masakan penonton TV AlHijrah yang telah terpilih sebagai pemenang pertandingan video Resepi Juadah Anda yang dilancarkan pada Oktober 2020 lalu. — AlHijrah Online

Leave a Reply