BAHAGIAN PENGURUSAN HALAL JAKIM TERIMA ANUGERAH INOVASI HALAL TERBAIK 2020

PUTRAJAYA: Usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memartabatkan industri halal negara terus mendapat pengiktirafan dan penghargaan.

Terbaharu, Bahagian Pengurusan Halal JAKIM dinobatkan sebagai penerima anugerah Inovasi Halal Terbaik 2020 oleh iHalal Awards 2020.

Anugerah itu disampaikan oleh Institut Standard dan Metrologi Negara-Negara Islam (SMIIC), sebuah badan standard untuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, turut berkongsi berita gembira pengiktirafan tersebut.

“Alhamdulillah, tahniah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Sementara itu Bahagian Hab Halal JAKIM dalam hantaran Facebook menjelaskan, elemen inovasi yang digunakan badan itu terdiri daripada teknologi yang meningkatkan proses, keselamatan dan kualiti produk atau barangan.

Jabatan itu juga menginovasi kemudahan permohonan sijil halal dalam talian menerusi MyeHalal, dan membangunkan aplikasi Smart Halal untuk memudahkan pengguna melakukan semakan status halal sesuatu produk.

Bahagian Hab Halal JAKIM memaklumkan, sistem pengurusan halal di negara ini mendapat kerjasama erat daripada kementerian dan agensi berkaitan antaranya Kementerian Kesihatan, Jabatan Kimia, Jabatan Standard Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

Kesemua kementerian dan agensi itu dimaklumkan banyak menyokong inisiatif JAKIM untuk mengekalkan kualiti dan status produk serta perkhidmatan halal. — AlHijrah Online

Leave a Reply