LELAKI DIPENJARA 13 TAHUN AKIBAT ROGOL SERTA LIWAT DUA ADIK BERADIK

KUALA TERENGGANU: Seorang pemotong rumput dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun dan dikenakan lima sebatan atas pertuduhan merogol dan meliwat dua beradik yang juga adik angkatnya.

Lelaki yang berumur 26 tahun itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Menurut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang merupakan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di sebuah rumah di Kuala Nerus pada jam 12 tengah malam, 31 Ogos lalu.

Tertuduh juga didakwa meliwat adik mangsa yang berumur 8 tahun di lokasi yang sama, pada jam 2 petang, 16 September lalu.

Hakim Nooriah Osman telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan rogol, serta tiga tahun penjara dan dua sebatan bagi kesalahan liwat.

Mahkamah perintahkan hukuman berjalan secara berasingan bermula tarikh tangkapan tertuduh pada 26 Oktober.

Tertuduh turut diarahkan untuk berada dalam pengawasan polis selama setahun selepas keluar dari penjara.—AlHijrah Online

Leave a Reply