LEBIH 130,000 IMIGRAN MENINGGALKAN TURKI KE EROPAH

ANKARA: Jumlah pendatang meninggalkan Turki untuk menyeberang ke Greece melalui sempadan barat laut Edirne pada 9.15 malam waktu tempatan mencecah 130,469 orang, kata Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu di Twitter.
Mendakwa Eropah memungkiri janjinya untuk membantu pendatang di Turki dan membantu negara itu menangani gelombang pendatang, pihak berkuasa Turki sebelum ini mengumumkan ia tidak akan menghalang pendatang ke Eropah.
Keputusan itu dibuat selepas 34 tentera Turki syahid di tangan tentera rejim di wilayah Idlib di barat laut Syria pada 27 Februari lalu.
Sejak pengumuman itu, ribuan pendatang asing membanjiri sempadan Edirne untuk menuju ke Eropah.
Tentera Turki bekerja keras untuk melindungi orang awam di bawah perjanjian dengan Rusia pada hujung 2018 di mana tindakan keganasan adalah dilarang di zon de-ekskalasi di Idlib, yang menyaksikan lebih 1,300 orang awam terbunuh akibat pencabulan gencatan senjata.
Turki yang kini menjadi tempat perlindungan sementara 3.7 juta pelarian Syria menegaskan tidak lagi mampu menampung gelombang pelarian baharu. — Terjemahan AlHijrah Online