LEBIH 700K AKAUN PENDEPOSIT TH TIDAK AKTIF
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH)
mengenalpasti lebih 700,000 akaun pendepositnya membabitkan simpanan RM60.4 juta yang tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun berturut-turut sejak 2012.
TH dalam kenyataan di sini berkata statistik itu membabitkan data terkini sehingga akhir Ogos lalu.
“TH ingin menasihati para pendeposit untuk mengaktifkan akaun masing-masing dengan melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi simpanan atau pengeluaran wang di mana-mana cawangan TH, kaunter uniteller; atau melakukan transaksi atas talian dengan mana-mana rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB di seluruh negara.
“Pendeposit juga boleh menyemak status akaun mereka di saluran-saluran ini dengan hanya membawa kad pengenalan masing-masing. Akaun-akaun yang masih tidak diaktifkan selepas 1 November 2019 akan dipindahkan ke dalam kumpulan Akaun Dormant (Tidak Aktif),” kata kenyataan TH hari ini.
Bagaimanapun, TH berkata, amaun yang dipindahkan ke Akaun Dormant itu masih lagi boleh dituntut dan dibayar kepada pendeposit TH menurut peruntukan seksyen 23(2) Akta Tabung Haji 1995.
“Setiap tahun, TH akan mengingatkan para pendeposit untuk memastikan status akaun sentiasa aktif, di samping mengemaskini data peribadi seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris bagi memudahkan TH menghubungi pendeposit atau waris mereka untuk urusan penghantaran surat tawaran haji dan pengurusan akaun,” kata kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan berkaitan akaun tidak aktif atau sebarang perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) kami di 03-6207 1919. — AlHijrah Online