Connect with us

ALHIJRAH NEWS

LELAKI HENTI KERETA TENGAH JALAN, MENGAMUK DISAHKAN PESAKIT MENTAL

DALAM NEGARA

LELAKI HENTI KERETA TENGAH JALAN, MENGAMUK DISAHKAN PESAKIT MENTAL

Lelaki berkenaan dipercayai berhenti dan keluar dari kenderaan di kawasan lampu isyarat yang agak sesak.

SEREMBAN: Polis mengesahkan lelaki yang menimbulkan kekecohan dengan mengamuk dan memaki pengguna jalan raya di persimpangan lampu isyarat dekat Jalan Dato Muda Linggi, dekat sini, merupakan pesakit mental.

Berdasarkan video berdurasi seminit 31 saat itu, lelaki berkenaan dipercayai berhenti dan keluar dari kenderaan di kawasan lampu isyarat yang agak sesak.

Dia kemudiannya bertindak seperti orang kurang siuman dengan memaki hamun beberapa pengguna jalan raya yang turut berhenti sementara menunggu lampu merah.

Bagaimanapun, dia tidak mencederakan mana-mana individu atau merosakkan kenderaan sebelum beredar dengan menaiki Perodua Alza selepas lampu isyarat bertukar hijau.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan selepas tular rakaman video mengenai lelaki terbabit.

“Bertindak atas maklumat yang diperolehi, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menghubungi pemilik kenderaan terbabit jam 8.30 pagi tadi.

“Lelaki berusia 38 tahun itu hadir ke Bahagian Trafik IPD Seremban bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit mengesahkan bahawa dia adalah individu yang dirakam itu.

Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada 8 Februari lalu dan lelaki berkenaan mengaku ketika itu dia dalam keadaan tertekan dan gagal mengawal diri.

“Selain itu, dia mempunyai rekod rawatan mental di wad psikiatrik Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban dan masih menjalani rawatan susulan,” katanya.

Nanda berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membuat halangan di jalan raya.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau kedua-duanya. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading