LIHAT KONFLIK PALESTIN DARI SUDUT SEJARAH DAN KEMANUSIAAN

Sumber Gambar: AFP

GEORGE TOWN: Seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum digesa agar untuk melihat isu berkaitan konflik di Palestin terutama di Semenanjung Gaza dari sudut sejarah dan kemanusiaan.

Teh Lai Heng (DAP-Komtar) berkata konflik dan peperangan yang masih berterusan mengakibatkan kehidupan rakyat Palestin menjadi susah khususnya golongan kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa terbunuh serta ramai yang kehilangan nyawa dan kediaman mereka.

“Saya sangat memahami bahawa isu terkait Palestin sangat dekat di hati umat Islam dan saya berharap kita semua tidak melihat situasi getir menimpa rakyat negara itu sebagai isu agama semata-mata, sebaliknya ia lebih daripada itu.

“Justeru saya ingin mengambil kesempatan menggesa seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk melihat ini dari sudut sejarah dan kemanusiaan kerana seperti yang semua sedia tahu, dunia dikejutkan dengan berita dan perkembangan tragik di Semenanjung Gaza,” katanya dalam sesi perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Teh berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak ketika perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang Dewan DUN ke-15 di sini.

Tun Ahmad Fuzi semasa berucap pada perasmian itu mengecam sekeras-kerasnya dan menggesa agar semua tindakan keganasan, pembunuhan dan kezaliman yang berlaku ke atas penduduk Palestin ditamatkan dengan segera.

Beliau dilaporkan berkata konflik dan peperangan yang masih berterusan telah mengakibatkan penderitaan yang besar kapada rakyat Palestin, dengan orang awam khususnya golongan kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa terbunuh serta ramai yang kehilangan nyawa dan rumah kediaman mereka. 

Sementara itu, Teh berkata beliau mendoakan agar semoga konflik dan serangan tersebut akan segera berakhir serta bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan buat rakyat Palestin yang sedang berjuang.

Katanya konflik antara dua negara ini telah menyebabkan beribu-ribu mangsa terkorban yang kebanyakannya golongan kanak-kanak kecil dan remaja malah jumlah kematian yang meningkat setiap hari di Gaza menyebabkan ruang tanah perkuburan semakin terhad dan jenazah terpaksa dikebumikan dalam keadaan menyayat hati.–AlHijrah Online

Leave a Reply