LIMA INDIVIDU DIREMAN BERHUBUNG KES PENIPUAN PAKEJ HAJI

JOHOR BAHRU: Lima individu dipercayai terbabit dengan insiden 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Julai lalu, direman selama tiga hari mulai hari ini.

Perintah reman itu dibenarkan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim selepas permohonan dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Mahkamah Majistret di sini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lima individu itu direman tiga hari bagi membantu siasatan kes penipuan pakej haji yang menggemparkan negara, sebelum Aidiladha lalu. 

Jelasnya, setakat ini Polis Johor sudah menerima empat laporan membabitkan bakal jemaah haji yang terpedaya dengan tawaran visa furada sebuah agensi pelancongan.

Tambahnya, siasatan secara terperinci akan dilaksanakan sebelum sebarang maklumat boleh dikongsi.

Pada 9 Julai lalu, polis dilapor menahan lima individu termasuk pemilik sebuah agensi pelancongan, yang dipercayai terbabit kes 380 individu ditawarkan pakej haji dan terkandas di KLIA. 

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan dalam serbuan di ibu negara kira-kira jam 9 malam.

Mereka yang ditahan terdiri pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota, Kuala Lumpur.

Pada 10 Julai lalu, lima individu terbabit juga sudah direman selama tiga hari, di Selangor.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 57 laporan polis diterima di seluruh negara berkaitan insiden 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA. 

Kesemua laporan polis itu membabitkan penipuan pakej haji oleh dua agensi pelancongan dengan kerugian keseluruhan mencecah RM 2.37 juta.—AlHijrah Online

Leave a Reply