MAHKAMAH PERINTAH TIGA BERADIK DISERAHKAN KEPADA LOH SIEW HONG

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan tiga adik-beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Loh Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau juga memaklumkan, menurut perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 31 Mac 2021, pemohon diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas ketiga-tiga anaknya.

Menurutnya lagi terdapat juga perintah ex-parte interim bertarikh 20 Disember 2019, memberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal anak-anaknya kepada pemohon.

Dalam notis usulnya yang difailkan pada 13 Februari lalu, Loh menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan pihak yang tidak dinamakan yang beliau dakwa menjaga tiga anaknya sebagai responden kedua.

Loh memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya itu dibebaskan serta-merta, daripada hak penjagaan persendirian responden, dan dikembalikan kepadanya.

Beliau juga sebelum ini membuat laporan polis bagi meminta kepulangan tiga anaknya, yang didakwa dijaga seorang pendakwah wanita dari sebuah NGO mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Sementara menunggu keputusan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi, anak-anak Siew Hong berada bawah jagaan JKM. – AlHijrah Online

Leave a Reply