MAJLIS TILAWAH, HAFAZAN AL-QURAN PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN BERMULA ESOK

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menganjurkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Tahun 1443H/ 2021M secara dalam talian, bermula esok, 20 hingga 23 September 2021.

Menurut JAWI, pelaksanaan majlis tersebut selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi kawasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Jelasnya, tujuan penganjuran majlis tersebut bagi memartabatkan kemuliaan Al-Quran yang menjadi rujukan utama dalam kehidupan seharian seorang muslim dengan cara menarik minat masyarakat untuk mendekati, memahami, menghayati dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran terutama umat Islam yang dilanda ujian mendepani pandemik COVID-19.

“Majlis ini juga bertujuan memilih calon qari/ qariah dan hafiz/ hafizah yang berkelayakan dan terbaik bagi mewakili Wilayah Persekutuan (WP) ke Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan.

“Penganjuran majlis juga diharapkan dapat memupuk minat generasi di pelbagai peringkat usia lebih-lebih lagi remaja dan belia untuk mencintai Al-Quran serta mahir dalam hafazan dan bacaan al-Quran meliputi bidang suara, lagu, tajwid dan tarannum,” dalam kenyataannya, hari ini.

Majlis Tilawah Al-Quran kali ini disertai 14 orang peserta; lapan peserta qari dan enam peserta qariah yang terdiri daripada empat qari dari Kuala Lumpur, seorang dari Labuan, dua orang dari Putrajaya, dan seorang Johan Menunggu.

Manakala qariah terdiri daripada dua orang dari Kuala Lumpur, seorang dari Labuan, dua orang dari Putrajaya dan seorang Johan Menunggu.

Bagi Majlis Hafazan Al-Quran, seramai 26 orang peserta akan menyertai dalam tiga kategori berbeza iaitu Kategori 1 (1 -10 juzuk): 10 orang peserta (enam lelaki dan empat perempuan), Kategori 2 (1-20 juzuk): lapan orang peserta (empat lelaki dan empat perempuan), Kategori 3 (1-30 juzuk): lapan orang peserta (empat lelaki dan empat perempuan).

Sementara itu, majlis tersebut akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad pada 23 September (Khamis), yang juga akan menyempurnakan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan tersebut.

Majlis Hafazan Al-Quran akan berlangsung pada jam 8.00 pagi- 4.30 petang bermula 20 hingga 22 September, manakala Majlis Tilawah Al-Quran bermula 22 September pada jam 2.30 petang hingga 23 September (Khamis).

Tambahnya, acara kuiz selingan turut diadakan dengan pelbagai hadiah menarik menanti para peserta yang menonton secara dalam talian sepanjang majlis berlangsung.

JAWI turut menganjurkan Forum Hal Ehwal Islam bermula 16 hingga 24 September 2021 pada jam 9.15 malam bersiaran secara langsung di laman Facebook JAWI yang menampilkan panel-panel terkenal bagi membicarakan pelbagai topik bertemakan ’Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera’.—AlHijrah Online

Leave a Reply