EMPAT INDIVIDU SAMBUT HARI JADI DIPANGGIL POLIS

KUALA LUMPUR: Seramai empat individu dipanggil polis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berkenaan penganjuran majlis sambutan hari jadi di sebuah premis di Jalan Bukit Bintang, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua mereka dipanggil selepas tular sebuah video di sosial media menunjukkan sekumpulan individu sedang menyambut hari jadi di sebuah premis.

“Hasil penelitian mendapati aktiviti sosial itu menyukarkan penjarakan fizikal, sekali gus melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 17 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) Pelan Pemulihan Negara 2021,” katanya, hari ini.

Noor Dellhan mengulas, kertas siasatan akan diserahkan ke Pejabat Pendakwa Raya apabila siasatan selesai dijalankan.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, atau mana-mana balai polis berhampiran.—AlHijrah Online

Leave a Reply