KERAJAAN SETUJU LAKSANA DOS KETIGA VAKSIN COVID-19

Sumber Gambar: AFP

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 bagi meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keutamaan pemberian dos ketiga ini akan tertumpu kepada kumpulan berisiko tinggi seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun, warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

Tambah beliau pemberian dos ketiga vaksin akan dilaksanakan setelah liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

ARTIKEL BERKAITAN – OXIMETER, TERMOMETER PERCUMA KEPADA KELUARGA B40

“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

“Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri memaklumkan kesemua perincian berhubung Pakej Penjagaan COVID-19 dan pemberian dos ketiga vaksin akan diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.—AlHijrah Online

Leave a Reply