MALAYSIA-ARAB SAUDI BINCANG KUOTA HAJI, UMRAH DALAM MASA TERDEKAT

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Arab Saudi dijangka berbincang perkara berkaitan kuota haji dan umrah dalam masa terdekat.

Lapor Bernama, Atase Agama Arab Saudi ke Malaysia, Sheikh Abdul Rahman Al-Rubaian berkata, kerajaan Arab Saudi dijangka menerima kunjungan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan perkara berkenaan.

“Perbincangan antara dua negara mengenai kuota haji dan umrah pada tahun ini bakal berlangsung dalam masa terdekat apabila Arab Saudi menerima kunjungan rasmi Perdana Menteri Malaysia serta Menteri Luar Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) (Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri),” katanya kepada Bernama.

Tambahnya Arab Saudi sentiasa mengalu-alukan kunjungan rakyat Malaysia untuk menunaikan umrah dan haji selepas pembukaan semula sempadan di negara itu.

Malaysia juga katanya tidak disenarai 20 negara yang dilarang memasuki Arab Saudi buat sementara waktu sebagai langkah mengekang peningkatan jangkitan COVID-19.

Antara 20 negara yang digantung kemasukan sementara oleh Arab Saudi ialah Perancis, Lubnan, Mesir, India, Jepun, Inonesia, Amerika Syarikat, Pakistan dan United Kingdom. – AlHijrah Online

Leave a Reply