ROGOL LOKAP: DUA ANGGOTA POLIS DITAHAN KERJA, 11 PEGAWAI BERDEPAN TURUN PANGKAT ATAU BUANG KERJA

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis yang bertugas menjaga lokap ketika kejadian rogol di lokap Balai Polis Pusat Miri, Sarawak ditahan kerja bermula 14 Januari 2021.

Anggota polis tersebut turut dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak_kanak 2001 pada 9 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia, Datuk Zamri Yahya berkata, selain dua anggota berkenaan, tindakan turut diambil ke atas 11 anggota lain atas kecuaian menjalankan tugas.

“JIPS telah menjalankan siasatan tatatertib bagi menyiasat kecuaian salah laku dalam kejadian tersebut.

“Selain tindakan dari sudut jenayah ke atas kedua-dua anggota berkenaan, seramai 11 orang terdiri daripada pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis lain yang didapati gagal serta cuai menjalankan tugas turut akan diambil tindakan oleh jabatan (diturunkan pangkat atau dibuang kerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 9 Januari 2021, kira-kira jam 5.30 pagi satu kejadian rogol telah dilaporkan berlaku di lokap Balai Polis Pusat Miri.

Dalam kejadian tersebut, seorang tahanan kanak-kanak perempuan berumur 16 tahun telah dirogol oleh seorang tahanan lelaki.

Dua laporan polis telah diterima susulan kejadian tersebut dan suspek lelaki berumur 19 tahun telah dituduh di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan pada 12 Januari 2021. – AlHijrah Online

Leave a Reply