MALAYSIA MOHON PERTIMBANGAN JUMLAH KUOTA HAJI SEPERTI SEBELUM INI

May be an image of 3 people, people standing, people sitting and indoor

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memohon pertimbangan Arab Saudi untuk membenarkan sebanyak mungkin jemaah Malaysia menunaikan haji tahun ini mengikut jumlah kuota yang diberikan sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata, Malaysia bagaimanapun memahami sebarang keputusan yang akan diambil oleh Arab Saudi bagi musim haji 1443 Hijrah akan mengambil kira situasi semasa.

“Malaysia telah membuat persediaan yang rapi dan teliti bagi mempersiapkan rakyat Malaysia dari aspek pengetahuan dan kesihatan diri untuk menunaikan haji pada tahun ini.

“Malaysia akan juga memastikan ibadat haji jemaah daripada Malaysia akan dilaksanakan dengan teratur dan mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan serta prosedur operasi standard (SOP) berkaitan operasi haji yang akan ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi pada tahun ini,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Beliau semalam telah bertemu Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawaan Al-Rabiah atas jemputan menghadiri Persidangan Dan Pameran Haji Dan Umrah di Jeddah.

Idris berkata beliau telah memaklumkan kepada Dr Tawfiq bahawa Malaysia akan menyambut baik keputusan Arab Saudi untuk membenarkan semula jemaah haji daripada luar negara datang ke Tanah Suci ini menunaikan ibadat haji.

Sementara itu Idris memaklumkan Arab Saudi memuji pengurusan Tabung Haji Malaysia dalam menguruskan haji sebelum ini dan Malaysia diharap dapat menjadi contoh dan ikutan kepada negara-negara yang lain. – AlHijrah Online

Leave a Reply